Pengerang terus terima limpahan pembangunan
11 Okt, Kota Tinggi- Kawasan Pengerang dekat sini dijangka terus mengalami limpahan pembangunan hasil peruntukan yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beberapa hotel baru akan dibina dalam usaha menjadikan Pengerang sebagai daerah pelancongan terkenal selain pembinaan taman perumahan serta rumah peranginan.
Selain itu jelasnya, Lebuh Raya Senai-Desaru (SPDE) yang dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan bakal memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi di kawasan itu pada masa akan datang.
“Pembangunan di sini terutamanya di Desaru tidak pernah dipinggirkan kerana peruntukan telah ditetapkan termasuk di bawah RMK-10.
“Kita juga memang menantikan siapnya SPDE dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke sini terutamanya dari Johor Bahru dan Singapura,” katanya semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Pengerang bersama Parlimen Pengerang di sini semalam.
Fasa pertama SPDE sepanjang 77 kilometer yang mengurangkan masa perjalanan pergi balik dari Senai ke Pasir Gudang daripada sejam kepada 23 minit memulakan operasinya pada 10 September lalu.
Fasa kedua projek yang bernilai RM1.365 bilion itu dari Cahaya Baru, Masai ke Desaru pula dijangka boleh digunakan pada tahun depan.
Pada masa sama, bekas Menteri Pelancongan itu berkata, penduduk Pengerang mengalu-alukan kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada akhir bulan ini.
Menurut beliau, kehadiran pemimpin tertinggi itu diharap dapat memperbanyakkan program dan projek fizikal bagi merancakkan sektor pelancongan di kawasan itu.
Mengenai majlis rumah terbuka itu Azalina berkata, kehadiran lebih 5,000 tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum membuktikan mereka sentiasa memberi sokongan kepada gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelasnya, pihaknya merancang untuk mengadakan program yang bertemakan 1Malaysia secara kerap bagi mengeratkan hubungan walaupun majoriti penduduk di Pengerang adalah Melayu.
“Konsep 1Malaysia memberi gambaran bahawa kerajaan BN diwakili oleh kerajaan campuran yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Kita tidak mahu kerajaan BN dilihat sebagai kerajaan Melayu sahaja dan sehingga kini seluruh rakyat semakin selesa dan dapat menerima konsep berkenaan,” katanya.



































